Categories
NASIONAL

Selesai hutang PTPTN tanggungjawab moral

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dilunaskan sebagai tanggungjawab moral.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, walaupun kerajaan akan mengotakan janji dan manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun peminjam digalakkan membayar balik pinjaman yang dilakukan.

Katanya, kerajaan membuat janji dan pihaknya akan melaksanakan janji berkenaan serta menjadi tanggungjawab moral setiap rakyat Malaysia untuk membayarnya semula.

“Ia membatasi kepercayaan agama, kita percaya apbila kita ambil pinjaman, kita kena bayar balik, itu tanggungjawab moral dan perkara asas.

“Kita menggalakkan peminjam membayar semula berdasarkan tanggungjawab moral untuk sesiapa yang meminjam tak kira PTPTN, hutang bank, pinjam dengan adik-beradik, ayah dan rakan.

“Bagi orang Islam tahu kalau tak bayar hutang, kita akan dituntut di akhirat nanti,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media, di Kementerian Pendidikan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menafikan pemilihan Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi PTPTN baharu adalah lantikan politik.

Sebaliknya, Maszlee berkata, ia adalah lantikan tidak terduga, di sebalik negara terpaksa membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berdepan kewangan tenat.

“Pelantikan Wan Saiful sebenarnya dalam keadaan itu selain untuk menyelamatkan keadaan dalam masa yang begitu terhad,” katanya.