Categories
NASIONAL

“Cash is king’, tanggapan Najib rakyat mata duitan silap

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: Tanggapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya rakyat negara ini boleh dibeli dengan duit ternyata meleset.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini dibuktikan apabila umpan Najib menabur wang ringgit ketika pentadbiran beliau tidak dapat membeli undi rakyat.

“Dulu dia kata “cash is king’ kerana dia sangka dengan duit dia boleh beli apa sahaja termasuk sokongan rakyat tetapi ternyata rakyat Malaysia buktikan sebaliknya.

“Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana tidak mudah diperdayakan dengan menolak Najib dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikin pada Majlis Makan Malam Kempen Derma Tabung Harapan Malaysia di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) Shah Alam di sini, malam tadi.

Mahathir berkata, rakyat telah membuat keputusan tepat bagi menyelamatkan negara daripada terus dikuasai pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sekiranya negara ini terus dikuasai pihak terbabit, hutang negara yang sudah mencecah RM1 trilion akan terus meningkat dan boleh menyebabkan kerajaan muflis.

Katanya lagi, Kerajaan Pakatan Harapan akan menguruskan ekonomi dengan bertanggungjawab khasnya dalam usaha memulihkan ekonomi negara.