Categories
SELANGOR

Guna busana Melayu tradisional ke rumah terbuka

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUL: Unik, dua tetamu rumah terbuka dilihat mengenakan busana Melayu tradisional ketika menghadiri majlis rumah terbuka.

Kedua-dua mereka, Ab Majid Bujang, 59 dan Zainul Azhar, 48 juga anggota Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor.

Ab Majid berkata, dia dan rakannya mengenakan pakaian berkenaan ke setiap rumah terbuka yang dihadiri sepanjang Syawal kali ini.

Katanya, dia berbangga mengenakan pakaian tradisional itu walaupun berbeza pakaian dengan tetamu yang lain.

“Buat apa hendak malu, inilah pakaian tradisional orang Melayu yang sebenar, sejak dari zaman dahulu kala lagi.

“Tujuan kami juga mahu mendidik masyarakat supaya membudayakan serta melestarikan budaya kebangsaan kita sendiri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu rakannya, Zainul berkata, busana Melayu yang dikenakannya berbeza dengan pakaian Melayu yang biasanya dikenakan kaum lelaki masa kini.

Katanya, selain memakai tanjak, turut dikenakan ialah baju layang, keris, bengkung dan juga pending yang dipasang sebegai tali pinggang.

“Tanjak juga ada jenis tertentu, bagi masyarakat Selangor, Tanjak Pasir Roboh ialah antara jenis tanjak yang biasanya digunakan.

“Kami berharap suatu hari nanti lebih ramai yang akan memakai pakaian seperti kami, ini kerana pakaian inilah lambang budaya Melayu sebenar,” katanya.