Categories
NASIONAL

Jangan terjerat sindiket kerja tawar gaji lumayan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya terhadap sindiket pekerjaan yang kononnya menawarkan gaji lumayan.

PDRM dalam kenyataan di Facebook berkata, sindiket berkenaan kebiasaannya melakukan pelbagai taktik bagi membolehkan penipuan mereka sukar dihidu.

Katanya, ahli sindiket akan mengiklankan tawaran kerja di akhbar dengan menyatakan kemudahan dan gaji yang lumayan bagi menarik minat orang ramai menghubungi mereka.

“Taktik ini digunakan untuk menjerat mangsa supaya berkerja dengan syarikat terbabit tanpa melalui proses pengambilan yang rumit.

“Namun, tanpa disedari tawaran itu hanya menjadikan mereka sebagai umpan bagi sindiket pengubahan wang haram mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Justeru, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis mana-mana syarikat yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tawaran menarik yang luar biasa.

“Dapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat sebelum menerima kerja yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, terdapat 25 aduan membabitkan aktiviti penipuan untuk memperoleh keuntungan mudah dengan menjanjikan peluang pekerjaan, termasuk jawatan profesional yang tidak wujud.

Katanya, sindiket akan mengiklankan kekosongan jawatan seperti ketua pakar bedah, ahli pediatrik dan pengurus projek yang didakwa ditawar organisasi yang ditubuhkan.

“Mangsa kemudiannya akan dihubungi melalui nombor telefon bimbit palsu atau e-mel, kononnya terdapat pengesahan kekosongan jawatan yang sesuai dengan kemahiran dan pengalaman mangsa.

“Pihak berminat dikehendaki menghantar salinan pasport dan maklumat peribadi mereka untuk pengesahan sebelum menerima tawaran kerja serta sedikit pembayaran terlebih dahulu bagi menjamin kedudukannya,” katanya.