Categories
NASIONAL

KEADILAN julang semangat demokrasi, tiada sekatan bertanding

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 JUL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sentiasa memastikan semangat demokrasi terus subur dengan tidak meletakkan sebarang sekatan terhadap mana-mana pihak untuk bertanding pada pemilihan parti itu.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau berharap tiada pihak yang mencadangkan supaya tidak mempertandingkan jawatan tertentu.

“Jangan ada pihak mencadangkan sesuatu jawatan tidak dipertandingkan, jangan ada resulosi maksud saya.

“Setakat ini tiada sekatan sebab ada orang cadangkan mungkin ada jawatan jangan dipertandingan tetapi masih awal kita letak sekatan,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Zuraida berkata, semua pihak wajar diberikan peluang sekiranya mampu mengangkat martabat parti ke satu tahap lebih tinggi.

Katanya, selain itu pihak terbabit hendaklah mampu mengukuhkan parti dan pada masa sama membuat pembaharuan untuk negara.