Categories
NASIONAL

Mangsa pertama HFMD

NASIONAL, 29 JUL: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak meninggal dunia semalam dipercayai akibat dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD dan sampel klinikal diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

Katanya, mangsa dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak, mula mengalami demam pada Selasa lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada keesokkan harinya.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada hari berikutnya sebelum dirujuk ke Hospital Daro sebelum itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak stabil sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia pada jam 2.08 pagi ini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

SUMBER: BERNAMA