Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HFMD: Ibu bapa digesa tingkat kawalan kebersihan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 28 DIS: Semua pihak terutama ibu bapa dan pengasuh perlu menitik beratkan aspek kebersihan anak dalam usaha mengawal penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata,
walaupun belum ada vaksin yang mampu mencegah jangkitan HFMD, namun penyebaran virus berkenaan boleh dikawal jika membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Amalan paling baik adalah membasuh tangan menggunakan air dan sabun serta mengikut tujuh langkah disaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain boleh menggunakan cecair ‘hand sanitiser’ yang mengandungi 95 peratus ethanol.

“Saya menekankan bahawa penyakit ini boleh dicegah walaupun komplikasi jarang serius tetapi boleh berlaku jika langkah pencegahan tidak dibuat dari awal, kalau berlaku kematian ekoran penyakit ini, ia adalah kematian yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor 2018 peringkat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPKj, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; Timbalan Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain dan Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Sarah Nabila Zulkifli.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan sebanyak 4,200 kes HFMD direkodkan di daerah Hulu Langat, sejak 1 Januari hingga semalam.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 30 peratus berbanding 1,370 kes, pada tahun lalu dengan 90 peratus penularan penyakit berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga enam tahun, manakala selebihnya membabitkan kanak-kanak sekolah rendah.

“Ia ekoran jangkitan virus, khususnya jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 kerana apabila satu ‘strain’ naik, secara automatik menjurus kepada peningkatan kes penyakit HFMD ini.

“HFMD menular ekoran pergaulan rapat kanak-kanak di rumah taska, tadika atau pengasuh melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur dan najis penghidapnya,” katanya.

Terdahulu, KKM mengesahkan dua kes kematian ekoran HFMD di Sarawak dan Pulau Pinang, membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan serta bayi berusia 17 bulan.

Categories
NASIONAL

HFMD: Jangan keliru dengan produk Anti HFMD/Flu Thymos

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang awam agar tidak keliru dengan produk Anti HFMD/Flu Spray berjenama Thymos di pasaran yang mendakwa dapat memberi pertahanan sepenuhnya terhadap virus penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan Influenza A.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat pengeluar telah dengan jelas melabelkan bahawa produk yang diperbuat daripada mineral yang diaktifkan itu boleh membunuh dengan serta merta 99.99 peratus virus-virus HFMD dan Influenza A.

“Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan.

“Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman tersebut adalah untuk kegunaan luaran dengan cara menyemburnya pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng.

KKM berkata, syarikat itu telah dinasihatkan untuk mengeluarkan tuntutan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan tuntutan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.

Orang awam disarankan mengamalkan lima perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD, iaitu penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan/saringan di pintu masuk taska/tabika/tadika/pra-sekolah, dan disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes HFMD dijangka menurun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OGOS: Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menjangkakan kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan berkurangan menjelang musim cuti persekolahan tidak lama lagi.

Beliau berkata, risiko penyakit HFMD itu dikesan mudah merebak apabila kanak-kanak pergi ke sekolah dan bergaul dengan sekumpulan pelajar lain.

“Setakat ini, sebanyak 44,692 kes HFMD direkodkan di seluruh negara. Namun, kajian terhadap peningkatan jangkitan penyakit itu turut dibuat setiap minggu dan peningkatan jangkitan HFMD pada minggu ini tidak begitu ketara berbanding minggu lepas.

“Sekiranya trend ini berterusan pada minggu berikutnya, terutamanya ketika cuti sekolah maka jumlah kes ini juga akan berkurang,” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas mengenai penutupan sekolah, Dr Lee berkata, situasi semasa penyakit HFMD masih terkawal dan tiada keperluan untuk arahan itu dikeluarkan melainkan jika kanak-kanak di premis terbabit dijangkiti.

“Kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengawal penularan penyakit ini. Jika ada murid di satu kelas dijangkiti HFMD kita akan arahkan kelas itu sahaja ditutup selama tujuh hari.

“Jika terdapat murid yang menghidap HFMD di beberapa (dua atau lebih) kelas di sesebuah sekolah itu, maka kita arahkan sekolah berkenaan ditutup selama tujuh hari juga,” katanya.

HFMD merupakan penyakit endemik yang biasa berlaku setiap tahun, namun pada tahun ini peningkatan kes direkodkan agak ketara iaitu sebanyak 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia berpunca daripada jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan ia merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Gejala penyakit tersebut adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

Categories
NASIONAL

HFMD: Ibu bapa perlu nasihat anak jaga kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menggalakkan ibu bapa menasihati anak mereka supaya menjaga kebersihan sepanjang masa walau di mana sahaja.

Timbalan Pengerusinya, Dr Muhamad Azrin Omar berkata, perkara itu perlu diambil serius ekoran peningkatan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin menjadi kebimbangan masyarakat.

“Kita optimis ibu bapa lebih bertanggungjawab menjaga kesihatan anak dan tidak membiarkan anak yang dijangkiti HFMD bergaul dengan yang lain buat sementara waktu supaya ia dapat dikawal.

“Selain itu, Serantau Muslim merasakan pentingnya pembabitan semua pihak dalam mengadakan program pencegahan secara drastik kepada kanak-kanak, ibu bapa, guru dan seluruh anggota masyarakat supaya penyakit itu dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Azrin berkata, pengusaha tadika dan pihak sekolah turut digalakkan menyediakan sabun anti bakteria untuk kegunaan pelajar.

“Saya berharap pihak sekolah komited mendidik pelajar untuk membasuh tangan sebelum makan dan selepas makan serta selepas menggunakan tandas kerana ia dapat mencegah sebaran wabak HFMD ini.

“Ia kerana penyakit ini boleh berjangkit melalui sentuhan, air liur, najis dan cecair daripada hidung,” katanya.

Terdahulu, data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada akhir Julai lalu mencatatkan 40,949 kes wabak HFMD, di seluruh Malaysia.

Categories
PBT SELANGOR

MPK peruntuk RM300,000 bantu kurangkan wabak HFMD

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 6 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukan lebih RM300,000 setahun bagi penjagaan kebersihan tandas awam untuk membantu Pejabat Kesihatan Daerah Klang menangani wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, walaupun kes wabak itu di bawah tugas Pejabat Kesihatan Daerah Klang, namun MPK mahu bersama membantu mengatasi wabak berkenaan.

“MPK memberi sumbangan kos menyelenggara dan penjagaan tandas awam, di Klang kira-kira RM30,000 sebulan, jadi MPK belanjakan lebih RM300,000 setahun.

“Ada juga kerja asas sahaja dan kita tidak dapat buat sepenuhnya, jadi kita melantik kontraktor, jaga kebersihan, cuci tandas, sediakan sabun dan sanitizer di dalam tandas itu.

“Setakat ini, terdapat 120 tandas awam di kawasan MPK, termasuk di taman awam, pasar, padang permainan serta gerai MPK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program minum petang bersama Majlis Permuafakatan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja Klang, di Dewan Hamzah MPK Klang, di sini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang awam supaya menjaga kebersihan tandas disediakan tanpa mengharapkan MPK atau kontraktor yang dilantik.

“Semua yang mengggunakan tandas awam, diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan tandas, bukan untuk kebaikan mereka tetapi masyarakat umum seluruhnya.

“MPK turut akan membantu dari segi kempen dan penerangan berkenaan wabak penyakit itu.

“Selain memberi penerangan berkenaan denggi, kita juga akan selitkan penerangan membabitkan bahaya wabak penyakit HFMD,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, sehingga kini sebanyak 1,061 kes HFMD dilaporkan di daerah Klang dari tempoh Januari hingga Julai tahun ini yang membabitkan sembilan sekolah.

Categories
SELANGOR

Tiada sekolah ditutup akibat HFMD di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 4 OGOS: Tiada sekolah ditutup akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor walaupun jumlah kes berada pada tahap berjaga-jaga.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, bagaimanapun hanya dua kelas ditutup di dua buah sekolah di negeri ini.

“Tidak dinafikan kini Selangor mempunyai kes tertinggi HFMD namun perlu diingatkan bahawa jumlah bilangan murid kita di negeri ini adalah hampir 1 juta orang.

“Disebabkan itu peratusan ini dilihat tertinggi berbanding negeri lain, namun jabatan tetap mahu mengingatkan ibu-bapa termasuk guru supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“JPS sendiri sudah mengeluarkan langkah-langkah pencegahan, hanya tinggal guru dan murid mengikuti langkah yang diberikan supaya mengelakkan kes ini terus merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2017 di Menara Yayasan Selangor, hadir sama Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Jangkitan HFMD di Selangor berada pada tahap berjaga-jaga dengan 9,300 kes dicatat sejak Januari sehingga bulan lalu.

Katanya, golongan kanak-kanak berusia bawah enam tahun merupakan yang paling banyak menerima jangkitan berkenaan melibatkan 8,501 kes, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun (568 kes) dan 231 kes untuk berusia 12 tahun ke atas.

Mei lepas di minggu ke-15 sehingga minggu ke-17 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.

Kes jangkitan HFMD ini memuncak pada awal Mei lepas di minggu ke-15 sehingga minggu ke-17 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.

 

Categories
NASIONAL

Mangsa pertama HFMD

NASIONAL, 29 JUL: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak meninggal dunia semalam dipercayai akibat dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD dan sampel klinikal diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

Katanya, mangsa dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak, mula mengalami demam pada Selasa lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada keesokkan harinya.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada hari berikutnya sebelum dirujuk ke Hospital Daro sebelum itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak stabil sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia pada jam 2.08 pagi ini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tingkat waspada: 37,986 kes HFMD di seluruh negara

KUALA LUMPUR 28 JUL: Sejumlah 37,986 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga hari ini dengan daripada jumlah tersebut 1,093 kes merupakan wabak.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan media berkata kes HFMD menyebabkan 539 premis tadika dan pra sekolah di seluruh negara ditutup.

Katanya, sebanyak sembilan buah sekolah turut ditutup iaitu tujuh di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Pahang dan Sabah.

Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan mengelak membawa anak-anak ke tempat tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar malam atau taman permainan.

HFMD boleh menyebabkan komplikasi termasuk dehidrasi, encephalitis (radang otak), kegagalan jantung dan sistem pernafasan, dan paling teruk boleh menyebabkan kematian

HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat disusuli kurang selera makan. Dalam masa sehari dua, luka atau ulcer di mulut akan muncul.

Kanak-kanak akan mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang mungkin melepuh. Ruam boleh terjadi di lutut, siku atau bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah biasanya tidak menyebabkan kegatalan.

Kekeringan badan atau dehidrasi mudah terjadi kepada pesakit disebabkan sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit mulut.

Categories
SELANGOR

HMFD: Tingkat waspada elak penularan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUL: Ibu bapa yang mempunyai anak dibawah umur enam tahun dinasihatkan supaya berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang kian meningkat mutakhir ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat ini tiada sekolah atau pra-sekolah diarahkan tutup di Negeri Selangor sehingga 25 Julai 2018.

“Ada ibu bapa bertanya mengapa sekolah tidak ditutup walaupun angka besar direkodkan kerana ia berlaku di beberapa kawasan dan tidak tertumpu di satu tempat sahaja.

“Untuk makluman, arahan untuk menutup taska perlu dikeluarkan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD).

“Untuk sekolah pula, guru besar atau pengetua boleh mengeluarkan arahan penutupan atas nasihat PKD. Setakat ini tiada kematian direkodkan,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Berdasarkan Kumulatif Minggu Epid 28, 8,601 kes direkodkan bagi kanak-kanak berumur 0-6 tahun, 568 kes untuk 7-12 tahun sementara 231 kes bagi berumur 13 hingga 15 tahun.

Katanya, walaupun corak wabak HFMD ini dilihat menurun di Selangor tetapi ia masih di paras berjaga-jaga sekitar bawah 300 kes seminggu.

“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu mengutamakan aspek kebersihan kerana tanda-tanda penyakit ini dapat dikesan melalui demam, ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut.

“Semua guru taska dan tadika perlu bertindak segera jika terdapat pelajar atau kanak-kanak yang mempunyai tanda menghidapi HFMD.

“Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka dan mengelakkan sebarang aktiviti di tempat tumpuan ramai buat masa ini demi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Mariah memaklumkan beliau tidak menerima sebarang makluman berhubung penutupan Pra-Sekolah Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar susulan penyebaran notis penutupan sekolah berkenaan di laman sosial.

 

Categories
NASIONAL

HFMD: Sebuah buah bilik darjah diarah tutup, 36 murid bercuti

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Sebuah kelas di Sekolah Rendah Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarahkan tutup dan kesemua 36 murid bercuti 10 hari selepas empat daripadanya dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan terdapat empat kes HFMD dilaporkan membabitkan murid lelaki tahun tiga sekolah itu.

“Menurut notis yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Kepong, hanya bilik darjah terbabit diarah tutup mulai semalam. Notis penutupan itu, bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dibuat selain memastikan pelajar lain tidak dijangkiti wabak sama,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekolah terbabit mendapati aktiviti persekolahan berlangsung seperti biasa dengan pengurusan sekolah juga mengesahkan kesemua murid daripada bilik darjah terbabit sudah bercuti, mulai hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat peningkatan kes HFMD apabila 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.

Pada minggu ke-29 iaitu 15 hingga 21 Julai lepas, sebanyak 3,852 kes HFMD dilaporkan berbanding 2,346 pada minggu ke-28 iaitu 8 hingga 14 Julai, menunjukkan peningkatan sebanyak 1,506 kes atau bersamaan 64.2 peratus.

Katanya pada 23 Julai iaitu hari kedua minggu ke-30, sebanyak 564 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua lagi sekolah ditutup di Pulau Pinang kerana HFMD

GEORGE TOWN 12 JUL: Dua lagi sekolah termasuk sebuah sekolah yang sebelum ini hanya membabitkan kelas Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup telah diarahkan tutup sepenuhnya berikutan penularan wabak penyakit, tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Mohamed berkata, dua sekolah itu ditutup selama 10 hari selaras dengan arahan Jabatan Kesihatan Negeri yang mahu pembersihan di sekolah yang mempunyai kes HFMD dijalankan bagi mengelak penularan penyakit berkenaan di kalangan murid di situ.

“Menurut laporan yang saya terima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Sun ditutup sepenuhnya apabila tiga pelajar dikesan menghidap penyakit berkenaan manakala SJKC Phor Tay yang sebelum ini enam buah kelas membabitkan Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang ditutup sejak 7 Julai lepas turut ditutup sepenuhnya bermula semalam.

“Langkah berkenaan diambil berikutan jumlah kes yang dicatatkan mencecah 11 kes di SJKC Phor Tay, dua buah sekolah telah ditutup sejak Selasa iaitu SJKC Shih Chung (Cawangan) (enam kes HFMD) dan Sekolah Antarabangsa Tenby.

“Semua sekolah terlibat terletak di daerah Timur Laut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, sembilan buah kelas di SJKC Chong Cheng di Sungai Ara turut ditutup selepas lapan murid di situ dijangkiti HFMD dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang membuat pemantauan serta pemeriksaan di sekolah berkenaan.

SUMBER: BERNAMA