Categories
SELANGOR

Ribut kencang, ADN minta penduduk adu penghulu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menasihatkan penduduk supaya memaklumkan penghulu kawasan jika mengalami kerosakan rumah ekoran ribut.

Katanya, penduduk perlu berjaga kerana musim hujan lebat dan angin kencang sejak kebelakangan ini.

“Saya menggesa anda menjaga keselamatan diri dan keluarga. Jika ada sebarang kerosakan, maklumkan segera kepada saya mahupun penghulu kawasan untuk bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum itu, Juwairiya memaklumkan beliau turut menyerahkan sumbangan kilat kepada penduduk yang mengalami kerosakan bumbung ekoran ribut, petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, bumbung rumah milik seorang penduduk di Kampung Api-Api diterbangkan angin kencang.

Ketua Kampung Api-Api, Shamsul Ambia Bahrom, 47, berkata pihaknya tidak menyangka musibah angin kencang melanda satu-satunya rumah penduduk sehingga menerbangkan keseluruhan bumbung dapur.

“Ini adalah kejadian kali pertama, mungkin angin pusing lalu kawasan ini semasa kejadian,” katanya.