Categories
NASIONAL

Titah YDPA undang perhatian netizen

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: “Ahli Yang Berhormat sila duduk dan jangan lari!,” begitu titah ucapan ringkas Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen Ke 14, yang berlangsung pagi tadi.

Ia kemudiannya tular di media sosial sekali gus menarik perhatian ramai yang menyifatkan ia penuh humor tetapi penuh sindiran.

Dalam masa dua jam, video disiarkan Media Selangor di laman Facebook mendapat tontonan lebih 900,000, dikongsi lebih 38,000 dan komen hampir 2,600 netizen.

“Bagusnya titah DYMM Tuanku… Siapa makan cili, siapa rasa pedasnya….” tulis Peggy Low.

“Maksud yang mendalam. Memerlukan kebijaksaan untuk memahami ‘double meaning’ ini,” itu pandangan Mohamad Khalid pula.

Sementara itu, Fatishar Sha berkata, Yang Dipertuan Agong mengambil pendekatan terbaik bagi memulakan persidangan Dewan Rakyat.

“Menyejukkan suasana panas dan membara dalam dewan… satu cara yang baik untuk memulakan persidangan,” katanya.

“Hahaha ni raja lawak pun kalah,” begitu pula dicoret Rita MH.

Titah baginda itu dipercayai merujuk Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan kerana membantah Yang Dipertua Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen pembangkang dari PAS dan Barisan Nasional menyuarakan bantahan itu ketika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yunos sebagai Speaker.

Mereka mendakwa pelantikan Speaker adalah tidak mengikut ‘Point of Order’ atau Peraturan 4(1) Parlimen.