Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah kekal presiden hingga November

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OGOS: Peralihan kuasa Presiden KEADILAN, daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjalan lancar.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, Dr Wan Azizah kekal menerajui parti reformasi itu sehingga Kongres KEADILAN 2018 berlangsung, pada November ini.

“Azizah akan terus menjalankan tugas Presiden KEADILAN hingga peralihan kuasa dijalankan pada kongres parti, November ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Merchant Square, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Dr Wan Azizah berjaya membuktikan kemampuannya menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden KEADILAN dengan baik.

Katanya, mengemudi KEADILAN sepanjang ketiadaan beliau selama dua dekad khasnya mengetuai parti itu dalam pilihan raya bukan satu perkara yang mudah.

“Saya bagi pihak semua rakan tentunya ingin menyampaikan penghargaan luar biasa kepada kewibawaan Azizah mengemudi bahtera KEADILAN dalam fasa yang begitu lama. Dua dekad yang penuh liku dan gelombang.

“Tekanan, penghinaan dan pemenjaraan tetapi dapat bertahan walaupun kadang-kadang surut, kadang-kadang pasang sehingga pilihan raya terakhir kerana secara teknikal saya masih dalam penjara ketika itu,” katanya.

Terdahulu, Anwar diumumkan menang tanpa bertanding bagi merebut kerusi presiden pada Pemilihan KEADILAN 2018 selepas Dr Wan Azizah tidak mempertahankan jawatannya.