Categories
NASIONAL

Insentif khas TNB sempena Hari Kebangsaan ke-61

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

TNB dalam satu kenyataan berkata, insentif khas sejak tahun 2000 itu diberikan kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang sudah beroperasi sekurang-kurangnya setahun untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September lalu, lapor BERNAMA.

“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari Mei, Jun dan Julai lalu.

“Ia membabitkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak,” kata kenyataan itu.

Pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my selewat-lewatnya, pada 15 September ini.