Categories
PBT SELANGOR

Kayuhan Santai Shah Alam semarakkan Hari Kebangsaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 OGOS: Inisiatif menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara diteruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi penganjuran Program Kayuhan Santai Shah Alam, di Dataran Kemerdekaan, di sini, baru-baru ini.

Seramai 400 peserta terdiri daripada Ahli Kelab Basikal Shah Alam (KELAS) dan komuniti setempat mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 25 kilometer, sekitar Shah Alam itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program terbabit adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang, pada 31 Ogos ini.

“Program Kayuhan Santai ini juga mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, ‘Hikers Climbers’ dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

“Acara berbasikal adalah aktiviti yang kerap diadakan pihak kami kerana menjadi gaya hidup masyarakat pada masa kini untuk melakukan aktiviti riadah khususnya bersama keluarga.

“Pelaksanaannya bukan sahaja dapat menjamin masyarakat yang sihat dan cergas, malahan mampu mengangkat bandar raya Shah Alam sebagai bandar raya sukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, MBSA juga sentiasa bergerak lebih proaktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti berbasikal lain bagi memenuhi keperluan masyarakat dan komuniti setempat khususnya.

“Antara program yang berjaya dianjurkan pihak kami adalah kayuhan malam sempena sambutan Earth Hour, Kriterium Shah Alam dan Kayuhan Enduride,” katanya.

Terdahulu, pelepasan peserta Kayuhan Santai disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pada masa sama, sebanyak 300 t-shirt percuma diedarkan kepada peserta terawal mendaftar untuk menjayakan acara itu