Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB: Kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Selangor

Saya telah menerima berita yang amat mendukacitakan bahawa YB Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Dan Pembangunan Modal Insan telah meninggal dunia sebentar tadi jam 6.28 petang tadi Hospital Putrajaya.

Allahyarham juga merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Seri Setia.

Allahyarham merupakan seorang ahli akademik yang terkemuka dan telah banyak berjasa kepada bidang pendidikan.

Allahyarham telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi MARA dan turut merupakan Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).

Jasa dan pengorbanan beliau sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai.

Allahyarham juga merupakan sahabat rapat saya dan rakan seperjuangan dalam politik.

Genap sebulan setelah pemergian Allahyarham Hj. Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan.

Sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN, Allahyarham banyak berkongsi pendapat hasil pengalaman luas sebagai aktivis semasa di dalam pergerakan ABIM.

Dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Allahyarham semasa hayat beliau, pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor.

Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Prof. Shaharuddin Badaruddin atas pemergian ini.

Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah.

 

Al Fatihah

 

YAB Tuan Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor.

2 Ogos 2018/20 Zulkaedah 1439H