Categories
SELANGOR

MB yakin Seri Setia milik Pakatan Harapan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yakin kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia milik Pakatan Harapan (Pakatan).

Katanya, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian Pakatan yang mentadbir Selangor sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, tiada nilai tambah sekiranya DUN Seri Setia jatuh ke tangan pembangkang sebaliknya, hanya mengganggu kelangsungan program yang sudah dirangka.

“Tiada manfaat apa-apa jika bertukar buat masa ini. Cuma menambah suara pembangkang dari lima kerusi kepada enam kerusi.

“Bagi saya ia cuma menganggu kelangsungan program yang sudah dirangka di sini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni dan Menyemarak Insiatif Peduli Rakyat, di Masjid Al- Islamiah Kampung Lindungan, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berharap rakyat DUN Seri Setia dapat memberikan sokongan penuh kepada calon Pakatan.

“Kita berusaha mendapatkan undi dari semua pihak tidak kira UMNO, PAS atau pengundi atas pagar,” katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas kematian Allahyarham Prof Shaharuddin Baharuddin bulan lalu.

Pilihanraya Kecil DUN berkenaan dijalankan serentak dengan DUN Balakong yang juga diadakan selepas Ahli Dewan Negeri Eddie Ng meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.