Categories
SELANGOR

Nama Mughni kekal terpahat di hati penduduk Kampung Jalan Kebun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OGOS: Bagi penduduk asal Kampung Jalan Kebun khasnya mereka yang mendiami Jalan Mughni, Allahyarham Haji Ahmad Mughni bukanlah satu nama yang asing.

Penduduk Kampung Jalan Kebun, Nor Aslan Moh Baie atau lebih mesra dengan panggilan Wak Lan, 60 tahun, berkata, bapa kepada calon KEADILAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu merupakan salah seorang yang bertanggungjawab meneroka penempatan di sini.

“Arwah bukan sahaja membuka penempatan di sini tetapi juga sangat dihormati penduduk kampung kerana ketokohannya dalam bidang agama hinggakan jalan ini dinamakan Jalan Mughni.

“Arwah juga pernah menjadi imam dan ramai kanak-kanak yang membesar di sini pernah mengaji Al-Quran dengan arwah,” katanya ketika ditemui SelangorKini di perkarangan Sekolah Kebangsaan Kampung Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Nor Aslan berkata, selain mengajar mengaji dan menjadi imam, Ahmad Mughni juga merupakan jurunikah bagi pasangan pengantin di sini.

Bercerita lanjut tentang perwatakan Mughni, Nor Aslan berkata, beliau mempunyai perwatakan yang lemah lembut dan disenangi penduduk kampung.

“Dia selalu dilihat menunggang basikal untuk ke mana-mana dan beliau tidak gemar bercakap hal yang tidak berfaedah,” katanya lagi.

Katanya, sehingga kini masih ramai ahli keluarga Ahmad Mughni masih menetap di sini termasuk calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.