Categories
NASIONAL

PDRM tidak kompromi kakitangan terbabit salah laku

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit dengan kegiatan salah laku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap kakitangannya membabitkan Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam setiap operasi serta serbuan dilakukan.

Katanya, seramai 926 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh JIPS bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

“Amat mendukacitakan apabila melihat kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merekodkan seramai 149 warga PDRM ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah, tahun lalu, berbanding 179, pada 2016.

“Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun ia memberi persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan PDRM,” katanya memetik BHOnline.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan, di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Fuzi berkata, mana-mana kakitangan yang terbabit dengan kegiatan salah laku bakal berdepan tindakan tatatertib dan ditukarkan, termasuk ketua polis negeri.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pegawai dan anggota yang diambil tindakan tatatertib dan dipindahkan.

“Kita serius terhadap isu salah laku membabitkan pegawai dan anggota bukan saja berkaitan judi tetapi meliputi rasuah serta peras ugut, terutama membabitkan ‘front liner’ (barisan hadapan) seperti bahagian trafik juga jenayah.

“Tindakan tatatertib dan pindah bukan saja membabitkan ketua polis daerah, malah ketua polis negeri serta ketua jabatan siasatan jenayah negeri jika didapati terbabit dengan salah laku atau gagal membendung kegiatan jenayah,” katanya