Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK DUN Seri Setia: Halimey calon PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA,16 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengumumkan Halimey Abu Bakar sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang bakal berlangsung, pada 8 September ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Majlis Pengumuman Calon PRK N.32 DUN Seri Setia, di Padang Permainan Blok 4,5 dan 6 Desa Mentari.

Berdasarkan keadaan semasa, Halimey bakal dicabar calon PAS, Dr Halimah Ali yang diumumkan sebagai calon mewakili pembangkang, semalam.

Halimey adalah bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan memulakan karier politiknya bersama KEADILAN sejak 1999 sebagai Ketua Pemuda Cawangan selain menjawat beberapa tugas dalam Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor.

Proses penamaan calon bakal berlangsung 18 Ogos ini dan pengundian awal bakal berlangsung, pada 4 September.

PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal bulan ini akibat barah usus yang dihidapinya, sejak dua tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Dr Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.