Categories
SELANGOR

Rosak bahan kempen, Siew Ki lapor polis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BALAKONG, 26 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Wong Siew Ki, hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya parti itu sengaja merosakkan bahan kempen milik parti lawan.

Siew Ki tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, diiringi ejen pilihan raya, Khoo Khim Han, kira-kira jam 1.50 petang bagi memberi keterangan lanjut kepada pihak polis terhadap perkara terbabit.

Beliau berkata, tindakan memfitnah itu dibuat menerusi laman Facebook Chee Teong yang pada mulanya berbunyi ‘Saya (Tan) akan mengadakan sidang media berhubung kerosakan bahan kempen MCA oleh DAP’.

Bagaimanapun katanya, kiriman berkenaan disunting selepas seketika dan pihaknya mempunyai paparan “screenshot” hantaran itu sebagai bukti.

“Tan Chee Teong membuat sidang media dan siaran langsung Facebook, pada 25 Ogos sekitar jam 1.46 petang, di Kampung Baru Kwan Tung Sg Chua.

“Tajuk video itu dipadamkan tidak lama selepas itu dan kenyataan beliau mempunyai unsur fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan laporan itu, di sini, petang ini.

Siew Ki berkata, kenyataan itu amat serius dan tidak boleh dimaafkan serta dibiarkan begitu sahaja tanpa siasatan lanjut polis.

“Walaupun dipadam selepas itu tetapi apa yang beliau (Chee Teong) tulis terus terang mengatakan pihak DAP yang menjatuhkan sepanduk berkenaan.

“Saya juga akan mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan biar polis menjalankan siasatan dahulu,” katanya.

Terdahulu, kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam insiden kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

PRK DUN Balakong bakal diadakan, pada 8 September ini serentak dengan PRK DUN Seri Setia.