Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kekal menang, buktikan rakyat percaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 8 SEPT: Kemenangan Pakatan Harapan (Pakatan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N 27 Balakong, membuktikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia juga membuktikan rakyat terus memberi sokongan penuh kepada Pakatan.

“Kemenangan besar dan peningkatan peratusan undi ini menunjukkan rakyat Malaysia khususnya DUN Balakong bersatu padu di bawah Pakatan.

“Pakatan mewakili semua bangsa dan rakyat Malaysia juga menolak politik perkauman dan hanya mementingkan satu agama dan kaum,” katanya ketika ditemui.

 

Beliau berkata demikian selepas pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) DUN Balakong, di Dewan Demesne Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Guan Eng berkata, Pakatan berjanji akan terus memenuhi aspirasi rakyat dengan mendengar suara rakyat dalam pelbagai aspek.

“Ini penting bagi sebuah parti yang bersih dan mahu bebaskan Malaysia dari belenggu rasuah.

“Itu aspirasi rakyat dan mesej yang dihantar oleh pengundi. Saya percaya Wong Siew Ki akan menjalankan tugas dengan penuh komitmen meneruskan kecemerlangan mendiang Eddie Ng,” katanya.

Categories
SELANGOR

2,801 pengundi awal PRK Balakong, Seri Setia mengundi Selasa ini

PETALING JAYA, 2 SEPT: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia akan mengundi pada Selasa ini.

Anggota Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Md Yusop Mansor berkata bagi PRK DUN Balakong, seramai 31 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagi proses pengundian awal PRK DUN Seri Setia pula, Md Yusop berkata seramai 2,770 pengundi awal terlibat, merangkumi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.

Menurut beliau, anggota tentera serta pasangan akan mengundi di Dewan Serba guna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab mereka di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

“Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Md Yusop berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Di samping itu katanya, pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.

“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) pada 4 Sept ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 Sept ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

PRK DUN Balakong dan Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong sementara di Seri Setia calon PH Halimey Abu Bakar bertembung dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh PH.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Rosak bahan kempen, Siew Ki lapor polis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BALAKONG, 26 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Wong Siew Ki, hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya parti itu sengaja merosakkan bahan kempen milik parti lawan.

Siew Ki tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, diiringi ejen pilihan raya, Khoo Khim Han, kira-kira jam 1.50 petang bagi memberi keterangan lanjut kepada pihak polis terhadap perkara terbabit.

Beliau berkata, tindakan memfitnah itu dibuat menerusi laman Facebook Chee Teong yang pada mulanya berbunyi ‘Saya (Tan) akan mengadakan sidang media berhubung kerosakan bahan kempen MCA oleh DAP’.

Bagaimanapun katanya, kiriman berkenaan disunting selepas seketika dan pihaknya mempunyai paparan “screenshot” hantaran itu sebagai bukti.

“Tan Chee Teong membuat sidang media dan siaran langsung Facebook, pada 25 Ogos sekitar jam 1.46 petang, di Kampung Baru Kwan Tung Sg Chua.

“Tajuk video itu dipadamkan tidak lama selepas itu dan kenyataan beliau mempunyai unsur fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan laporan itu, di sini, petang ini.

Siew Ki berkata, kenyataan itu amat serius dan tidak boleh dimaafkan serta dibiarkan begitu sahaja tanpa siasatan lanjut polis.

“Walaupun dipadam selepas itu tetapi apa yang beliau (Chee Teong) tulis terus terang mengatakan pihak DAP yang menjatuhkan sepanduk berkenaan.

“Saya juga akan mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan biar polis menjalankan siasatan dahulu,” katanya.

Terdahulu, kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam insiden kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

PRK DUN Balakong bakal diadakan, pada 8 September ini serentak dengan PRK DUN Seri Setia.

Categories
SELANGOR

Calon PAKATAN Balakong tekad naik taraf infrastruktur pasar

OLEH SHEEDA FATHIL

CHERAS, 20 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki tekad mahu menaik taraf infrastruktur Pasar Pagi Chua di daerah itu, sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi DUN Balakong.

Siew Ki berkata, beliau sudah melawat sekitar pasar berkenaan dan berhasrat akan menaik taraf kawasan itu supaya pengunjung serta penjual berasa lebih selesa.

“Saya sudah melihat sendiri kawasan pasar ini dan banyak infrastruktur mengalami kerosakan. Jadi saya berjanji ia akan dinaik taraf sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pengedaran Bendera Malaysia di Pekan Batu 11, di sini, semalam.

Turut hadir memeriahkan program Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Pada masa sama, Siew Ki berkata, beliau amat gembira selama dua hari berkempen rakyat sudah menunjukan reaksi positif terhadapnya.

Mengulas mengenai reaksi rakyat terhadap logo PAKATAN untuk PRK itu, Siew Ki berkata, beliau menerima pelbagai reaksi positif.

“Rakyat amat gembira dan masing-masing memberitahu saya bahawa mereka sudah mengetahui logo itu dan tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Namun, itu tidak bermakna saya boleh selesa dan usaha tetap perlu dipertingkatkan lagi untuk terus mendengar permasalahan rakyat,” katanya.

Siew Ki bakal bertemu dua penjuru dengan pencabarnya daripada calon MCA, Tan Chee Teong pada PRK yang bakal berlangsung 8 September ini.

Terdahulu, kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

PRK DUN Balakong 8 September, kempen 21 hari

PUTRAJAYA 30 JUL: Tarikh mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong ditetapkan pada 8 September ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Othman Mahmood.

Sementara itu, penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Ogos dengan jumlah pengundi berdaftar di DUN Balakong adalah 62,219 orang.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 21 hari selaras dengan tuntutan yang dibuat badan reformasi pilihan raya, BERSIH.

Ini bermakna ia merupakan antara tempoh kempen terpanjang yang ditetapkan untuk pilihan raya kecil setakat ini.

SPR menetapkan kesemua calon akan memfailkan pencalonan mereka pada 18 Ogos di dewan Pejabat Daerah Hulu Langat.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang selain penambahan saluran kepada pengundi berumur 60 tahun ke atas,” katanya dalam sidang akhbar PRK DUN Balakong di sini hari ini.

Menurut Othman, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim pada Jumaat lalu berhubung dengan kekosongan kerusi DUN itu.

Katanya, pemakluman itu ekoran kematian penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.