Categories
SELANGOR

Siew Ki tekad teruskan kecemerlangan mendiang Eddie Ng

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Wong Siew Ki, berjanji untuk meneruskan kecemerlangan penyandang terdahulu, mendiang Eddie Ng, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Beliau berkata, mendiang sebelum ini berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Saya bangga dipilih menjadi calon dan berasa lega hari ini kerana proses penamaan calon selesai tanpa ada sebarang perkara tidak diingini.

“Saya berharap, selepas ini boleh menjadi pemimpin yang membanggakan pengundi Balakong jika dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon, di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Siew Ki berkata, kawasan yang ditandinginya itu adalah kawasan rumit khususnya pembangunan bercampur antara kampung baru tradisi dan perumahan bandar.

“Sudah tentu pelbagai masalah dan permintaan dilontarkan pengundi, di sini. Tetapi, saya menganggap ia cabaran dan satu faktor yang menarik.

“Saya akan menaiktaraf kualiti kehidupan pengundi menerusi aktiviti perniagaan di sini selain kemudahan infrastruktur,” katanya.

Siew Ki, 32, adalah Ketua DAPSY Serdang dan Timbalan Wanita Serdang serta pernah menjadi Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Pilihan Raya Kecil N.27 DUN Balakong secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PAKATAN dan MCA.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila Eddie meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.