Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir Santapan Diraja Sekolah Seri Puteri

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 19 OGOS : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Santapan DiRaja bersempena Sambutan Ulangtahun yang ke-50 Sekolah Seri Puteri (SSP) di Hotel Mandarin Oriental, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda di sambut Presiden Persatuan Alumni SSP, Mastura Ma’sud.

Turut mengiringi baginda isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Mohamad.

Ketibaan baginda disambut oleh alunan gamelan daripada beberapa sekumpulan pelajar sekolah bestari tersebut.

Majlis ulangtahun itu dianjurkan Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri atau lebih dikenali PUTERI.

Pada masa sama, baginda berkenan menyaksikan serahan replika cek sejumlah RM467,000 daripada PUTERI kepada SSP.

Selain acara Santapan Diraja, baginda turut berkenan menyaksikan persembahan nyanyian daripada legenda terkemuka tanah air, Dato’ M Nasir.

Selain itu, turut memeriahkan suasana terdapat persembahan piano daripada konduktor muzik dan penggubah lagu terkenal Malaysia, Datuk Mokhzani Ismail.

Bertemakan “Hikayat Puteri”, majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran 700 tetamu terdiri daripada alumni SSP, guru dan bekas guru SSP dari seluruh Malaysia.

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur.

Namun, pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya, manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri).