Categories
NASIONAL

1,270 saman sejak kuat kuasa AWAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sejumlah 1,270 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pengambilalihan semua operasi kamera sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), sejak 1 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesalahan itu membabitkan 1,121 saman had laju dan 147 bagi kesalahan lampu isyarat.

“Operasi ini membabitkan penguat kuasaan kesalahan yang dirakam menerusi kamera seperti memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Pengambilalihan oleh JPJ itu meliputi penguat kuasaan bagi pengoperasian ke atas 45 kamera AWAS terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loke berkata, JPJ akan menguat kuasakan kesalahan AWAS di 47 lokasi secara keseluruhannya sehingga akhir tahun ini.

Katanya, tujuan utama pemasangan dan penguat kuasaan kamera AWAS adalah mendidik dan menjaga keselamatan pemandu, terutama apabila mereka memandu di zon operasi kamera.

“Orang ramai boleh menyemak senarai terkini lokasi kamera AWAS di laman sesawang www.jpj.gov.my, selain boleh melakukan semakan saman JPJ dan AWAS.

“Untuk pengetahuan, semua lokasi yang sudah dikenal pasti ini adalah jalan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan AWAS, mulai 1 September ini.

Loke berkata, Orang Kena Saman (OKS) akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa sama, mata demerit akan dikenakan apabila kompaun itu dibayar.

“Jika OKS tidak menyelesaikan kompaun ditetapkan, kes itu akan dibawa di mahkamah dan jika OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti dikehendaki, mereka akan disenarai hitam serta dihalang daripada melakukan apa jua transaksi juga urus niaga di JPJ sehingga kes ini diselesaikan.

“Tindakan untuk menyenarai hitam ini akan dilakukan menurut peruntukan di bawah Seksyen 17(1d), 29(1A) dan 119(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Namun, jika OKS memilih untuk menyelesaikan kesnya di mahkamah, jika disabitkan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000 serta mata demerit akan dikenakan,” katanya.