Categories
GLOBAL

Awas laman sesawang palsu tarik pelaburan Bitcoin

SINGAPURA, 19 SEPT: Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) memberi amaran kepada orang ramai berkenaan laman sesawang palsu bagi menarik pelaburan dalam Bitcoin menggunakan komen palsu daripada Pengerusinya, Tharman Shanmugaratnam.

MAS dalam kenyataan hari ini meminta pembaca mendaftar bagi akaun Bitcoin dan meminta butiran terperinci kad kredit serta akaun bank.

Katanya, artikel disiarkan juga tidak benar dan sangat mengelirukan.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengelakkan daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi dalam borang dipautkan daripada laman sesawang itu.

“Melabur dalam mata wang kripto seperti Bitcoin amat berisiko,” kata pihak berkuasa itu lapor BERNAMA.

Pada masa sama, MAS turut mengeluarkan peringatan pada 19 Disember 2017 yang memberi amaran kepada orang ramai berkenaan risiko pelaburan mata wang kripto.

Pihak berkuasa itu juga menggesa orang ramai yang mengesyaki pelaburan yang mungkin menipu atau disalah guna bagi aktiviti menyalahi undang-undang lain supaya melaporkannya kepada polis.

“Bagi maklumat lanjut berkenaan mata wang kripto dan pelaburan mata wang kripto, orang ramai boleh merujuk kepada MoneySENSE, iaitu program pendidikan kewangan negara bagi peringatan pengguna,” katanya.