Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor, TNB bongkar kegiatan curi elektrik untuk Bitcoin

SERDANG, 19 APRIL: Polis dan Tenaga Nasional Berhad membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin, dalam serbuan di enam premis di Seri Kembangan dan Bandar Kinrara pada 8 dan 17 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan pertama melibatkan tiga premis di Pusat Perdagangan Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 8 April, dan pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita warga China, dipercayai penjaga premis itu.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 32 dan 38 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan sah, direman sehingga 28 April untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kedua di Jalan Damai 3, Taman Damai Utama, Bandar Kinrara pada Ahad lepas pula, tiada tangkapan dilakukan.

“Sejumlah 297 mesin lombong dirampas daripada kedua-dua serbuan, dan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM100,000,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, selain Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sementara itu Mohd Rosdi berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai pengedar dan juga penghantar dadah, ditahan bersama sembilan kilogram syabu dalam serbuan operasi khas di Serdang Raya, Seri Kembangan, pada kira-kira 5.30 petang Khamis lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui sembilan bungkusan plastik lutsinar di atas tempat duduk bahagian penumpang dan belakang kereta yang dipandu suspek, dengan anggaran berat 9.28 kilogram.

“Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan. Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM380,000. Sebuah kereta jenis Honda City turut disita untuk siasatan lanjut. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berhubung kesalahan jenayah dan dadah, yang dilakukan sejak tujuh tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek giat melakukan kegiatan mengedar dan menghantar dadah kepada pengedar lain di sekitar Lembah Klang, sejak sebulan yang lalu.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM siasat penyalahgunaan nama perdana menteri

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan insiden penyalahgunaan nama Perdana Menteri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan siasatan itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel itu.

“SKMM mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kewujudan dan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai turut diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil SKMM.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 22 Julai memaklumkan terdapat dua insiden oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Awas laman sesawang palsu tarik pelaburan Bitcoin

SINGAPURA, 19 SEPT: Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) memberi amaran kepada orang ramai berkenaan laman sesawang palsu bagi menarik pelaburan dalam Bitcoin menggunakan komen palsu daripada Pengerusinya, Tharman Shanmugaratnam.

MAS dalam kenyataan hari ini meminta pembaca mendaftar bagi akaun Bitcoin dan meminta butiran terperinci kad kredit serta akaun bank.

Katanya, artikel disiarkan juga tidak benar dan sangat mengelirukan.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengelakkan daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi dalam borang dipautkan daripada laman sesawang itu.

“Melabur dalam mata wang kripto seperti Bitcoin amat berisiko,” kata pihak berkuasa itu lapor BERNAMA.

Pada masa sama, MAS turut mengeluarkan peringatan pada 19 Disember 2017 yang memberi amaran kepada orang ramai berkenaan risiko pelaburan mata wang kripto.

Pihak berkuasa itu juga menggesa orang ramai yang mengesyaki pelaburan yang mungkin menipu atau disalah guna bagi aktiviti menyalahi undang-undang lain supaya melaporkannya kepada polis.

“Bagi maklumat lanjut berkenaan mata wang kripto dan pelaburan mata wang kripto, orang ramai boleh merujuk kepada MoneySENSE, iaitu program pendidikan kewangan negara bagi peringatan pengguna,” katanya.

Categories
GLOBAL

Bitcoin jadi wang tebusan penculik

GLOBAL 31 DIS: Sekumpulan penculik di Ukraine telah membebaskan seorang pengurus firma urus niaga bitcoin yang berdaftar di United Kingdom setelah mendapat bayaran lebih daripada AS$1 juta (RM4.06 juta) dalam bentuk mata wang bitcoin sebagai wang tebusan.

Perkara itu didedahkan oleh penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine kepada Reuters semalam.

Pavel Lerner, seorang penganalisis terkemuka dan pakar rantaian blok telah diculik oleh enam lelaki bertopeng yang tidak dikenali pada 26 Disember lalu, menurut kenyataan syarikatnya, EXMO Finance, di laman sesawangnya.

“Ini adalah kes pertama di Ukraine yang dikaitkan dengan bitcoin,” kata penasihat Menteri Dalam Negeri, Anton Gerashchenko menerusi satu pesanan ringkas.

Namun tidak dapat dipastikan siapa yang membayar tebusan tersebut tetapi syarikatnya menjelaskan menjelaskan bidang tugas Lerner di EXMO tidak melibatkan akses kepada aset kewa­ngan para penggunanya.

“Pada masa ini, dia selamat, dan tidak ada sebarang kecede­raan fizikal yang dikenakan kepadanya.

“Namun, Lerner kini berada dalam keadaan tertekan, oleh itu, dia tidak dapat memberikan apa-apa ulasan rasmi dalam tempoh terdekat,” jelas syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

Berita mengenai Lerner mengejutkan ramai ketika bitcoin dan mata wang kripto kembali pulih selepas berdepan kerugian selama dua hari ekoran penga­wal­seliaan yang diperketat terhadap mata wang digital itu dalam usaha untuk mengekang spekulasi berlebihan.

Banyak mata wang digital menyaksikan nilainya melonjak pada tahun ini.

SUMBER: REUTERS