Categories
SELANGOR

Cadangan naik elaun ikut keperluan semasa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Cadangan kenaikan elaun mesyuarat Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor adalah berdasarkan keperluan semasa dan bersesuaian dengan keadaan masa kini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, elaun mesyuarat RM75 sehari diterima ADN tidak mengalami perubahan lebih 20 tahun lalu dan pertikaian dibangkitkan calon MCA Balakong, Tan Chee Teong, dianggap sebagai mencari populariti.

“Saya nampak calon MCA mungkin orang baharu dan tidak begitu arif dalam soal elaun kerana mahu mencari populariti untuk mendapatkan undi.

“Mungkin beliau terdesak mengeluarkan kenyataan dan saya memahaminya, namun tujuan asal saya ialah supaya Selangor mengikut keperluan semasa,” katanya kepada media di lobi DNS, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Chee Teong yang menganggap cadangan kenaikan elaun ADN Selangor tidak munasabah dan wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan sebagai insentif untuk menghadiri sesi perbahasan DNS.

Sebagai perbandingan, Suee Lim yang juga ADN Sekinchan berkata, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan sendiri menerina elaun mesyuarat RM150 sehari.

“Ia sudah dibangkitkan sejak sidang DNS penggal lalu dan akan dibincangkan semula melalui jawatankuasa tertentu, sama ada dipersetujui atau tidak.

“Elaun Ahli Parlimen dianggarkan lebih kurang RM300 dan RM500, maka cadangan untuk kenaikan ini mungkin sebegitu dan mungkin negeri lain juga akan mengambil tindakan sama tetapi saya tidak membuat penelitian,” katanya.

Beliau berkata, isu elaun dibangkitkan kerana ia memerlukan semakan berdasarkan perkembangan semasa dan bukan kerana memberi insentif atau ganjaran kepada ADN.