Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Infrastruktur PPR Lembah Subang diberi nafas baharu, langkah pertama Halimey

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar komited untuk memberikan nafas baharu, khususnya terhadap aspek kemudahan dan infrastruktur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

Selaras dengan manifestonya, beliau berkata, perkara itu akan diketengahkan ke peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama pihak berkaitan untuk membincangkan secara lebih mendalam.

“Saya akan berbincang dengan pihak KPKT dan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Negeri untuk menambah baik lagi prasarana yang terdapat di situ.

“Selain itu, kita akan melihat bagaimana peranan yang dimainkan kedua-dua pihak terbabit dan seterusnya saya akan menjadi penghubung antara penduduk dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media selepas Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Halimey berkata, beliau juga akan memberi penumpuan terhadap Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) sedia ada supaya dapat berfungsi dengan baik dan teratur.

“Pusat khidmat yang ada sekarang akan ditambah baik kerana kita mahu pastikan ia betul-betul cantik dan berfungsi bagi memudahkan proses bertemu dengan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Halimey menepati ramalan untuk terus mengekalkan kerusi apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi berbanding PAS.

Beliau memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan 9,698 undi.

Kemenangan Halimey itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.