Categories
EKONOMI

Kerajaan rancang tubuhkan badan khas industri kelapa

PETALING JAYA, 24 SEPT: Kerajaan merancang menubuhkan badan khas bagi mengurus, memacu dan mengawal selia industri kelapa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, industri tersebut mengalami pertumbuhan pesat berikutan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan kelapa di seluruh dunia.

“Jadi, saya ingin menjemput negara-negara lain yang mempunyai amalan yang sama untuk berkongsi pengalaman mengenai proses menubuhkan badan pentadbir industri kelapa,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Peringkat Menteri serta Sesi Mesyuarat Bersama Komuniti Kelapa, Asia dan Pasifik (APCC) ke-54 di sini hari ini.

Salahuddin berkata laporan Unjuran Komoditi Bank Dunia pada April 2018 menjangkakan harga minyak kelapa naik daripada US$1,110 setan pada 2016 kepada US$1,275 pada 2018.

Beliau berkata permintaan yang meningkat itu didorong oleh bertambahnya penggunaan produk berasaskan kelapa serta manfaat yang dinikmati pengguna seperti minyak kelapa dara.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata industri kelapa di Malaysia serta beberapa negara anggota berdepan cabaran dalam pengeluaran akibat cuaca, persaingan dengan tanaman lain kerana tanah subur yang terhad dan produktiviti rendah.

Industri tersebut turut terkesan dengan propaganda negatif daripada sesetengah pihak mengenai tahap kesihatan minyak kelapa dan produk kelapa lain yang boleh dimakan, katanya memaklumkan bahawa Persatuan Jantung Amerika menyebut minyak kelapa yang didakwanya berisiko menyebabkan penyakit jantung.

“Sehingga kita berjaya menolak dakwaan ini secara sistematik dan betul, dakwaan palsu itu tidak akan lenyap.

“Kita memerlukan dialog, perundingan, bukti dan penemuan saintifik bagi menyelesaikan isu ini,” kata Salahuddin.

Beliau berkata Malaysia perlu memperkukuh hubungannya dengan negara anggota APCC, khususnya dalam bidang pembiakan benih untuk mendapat hasil yang lebih tinggi, pencegahan penyakit dan teknologi embrio bagi meningkatkan produktiviti.

Salahuddin berkata Malaysia telah melancarkan beberapa inisiatif bagi memperkasa industri kelapa, terutama dalam menangani peningkatan ke atas keperluan bahan mentah untuk produk nilai tambah, termasuk promosi benih kelapa yang berhasil tinggi bagi meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata sejak lebih 30 tahun lepas, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan pembangunan dan penyelidikan berkaitan kelapa bagi mencari hibrid atau varieti kelapa berhasil tinggi yang boleh mengeluarkan lebih banyak benih, yang antaranya diperkenal baru-baru ini.

MARDI menghasilkan enam varieti kelapa, termasuk varian Karina dan Karini yang sesuai diminum manakala selainnya untuk santan kelapa.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia mengalu-alukan bantuan daripada negara APCC, khususnya dalam berkongsi keputusan penyelidikan dan promosi mengenai industri kelapa yang mapan.

APCC merupakan organisasi antara kerajaan melibatkan negara-negara pengeluar kelapa yang ditubuhkan pada 1969 di bawah naungan Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik.

APCC terdiri daripada 18 anggota yang menghasilkan lebih 90 peratus daripada bekalan kelapa dunia dan eksport produk kelapa.

Negara anggota APCC termasuk Micronesia, Fiji, India, Indonesia, Kiribati, Malaysia, Kepulauan Marshall, Papua New Guinea, Filipina, Samoa, Kepulauan Solomon, Sri Lanka, Thailand, Tonga, Vanuatu dan Vietnam, manakala Jamaica dan Kenya merupakan negara anggota bersekutu.

SUMBER: BERNAMA