Categories
SELANGOR

Khairil Azlan bersyukur, hargai sokongan Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 22 SEPT: Khairil Aslan Ab Rasid, 43, melahirkan kesyukuran dapat merealisasikan misi menawan puncak Gunung Stok Kangri, di India.

Kejayaan peserta Ekspedisi Solo Merdeka Anak Muda Gombak (AMG) dan mengibarkan bendera Selangor di puncak Himalaya itu sekali gus melengkapkan misi pendakian tiga puncaknya.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta Majlis Perbandaran Selayang, AMG dan semua pihak yang membantu saya.

“Saya amat menghargai segala bantuan dan sokongan diberikan bagi merealisasikan usaha dalam pendakian saya ke tiga puncak di Himalaya, utara India,” katanya kepada media.

Khairil Aslan berkata demikian apabila disabut pulang di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, ekspedisi kali ini adalah antara paling sukar berbanding pendakian dilakukan sebelumnya pada 2015.

“Pada 2015, saya melakukan pendakian ‘off season’ di Nepal membabitkan tiga puncak juga tetapi pada kali ini berbeza kerana rupa buminya seperti di CB13 dan CB14 menghadirkan cabaran getir.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan meletakkan nama Selangor serta Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Amirudin sebelum ini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Khairil Aslan Ab Rasid berjaya mendaki Stok Kangri serta CB13 dan CB14.

Khairil Aslan mendedikasikan kejayaannya kepada semua rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau mendapat sokongan Kerajaan Negeri untuk pendakian menawan tiga puncak, Gunung Stok Kangri setinggi 6,153 meter, Gunung CB14 (6,045 meter) dan Gunung CB13 (6,264 meter), mulai 27 Ogos lalu.