Categories
NASIONAL

Komponen PAKATAN jangan balah hingga berpecah

SHAH ALAM, 4 SEPT: Parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) diingatkan supaya tidak berbalah hingga boleh menimbulkan perpecahan, kata Mohamad Sabu.

Memetik BHOnline, Timbalan Presiden PAKATAN itu berkata, setiap parti pasti mempunyai pandangan dan pendapat berbeza, namun menegaskan perkara terbabit tidak seharusnya menjadi punca ‘perceraian’ antara mereka.

Beliau turut mengingatkan faktor utama kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah ekoran gabungan antara KEADILAN, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Jika tambah parti lain tidak mengapa tetapi jangan (berbeza pendapat) hingga kita semua bercerai.

“PAS juga tahu gabungan ini penting, sebab itu sekarang mereka bergabung dengan UMNO,” katanya yang juga Presiden AMANAH ketika berucap, pada Ceramah Pilihan Raya Calon PAKATAN, di sini, malam tadi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Pada masa sama, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua barisan Kabinet perlu telus melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan PAKATAN melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) daripada wakil pembangkang sebagai perubahan besar.

“Jika kami tidak betul, pembangkang yang akan dedahkan,” katanya.