Categories
NASIONAL

NADMA pantau kejadian ribut di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini menjalankan pemantauan berhubung kejadian ribut di Perlis, semalam, yang mengorbankan empat nyawa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, NADMA dengan kerjasama agensi berkaitan juga akan menilai kerosakan berlaku akibat kejadian berkenaan.

“Laporan berhubung pemantauan dan penilaian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang akan diadakan, pada malam ini,” katanya dalan kenyataan media, hari ini.

Foto: Astro Awani

Ekoran kejadian itu, beliau berkata, terdapat enam kemalangan berlaku dan rekod rasmi polis melaporkan sehingga kini berlaku empat kematian.

“Operasi pembersihan sedang giat dijalankan pelbagai agensi berkaitan dan orang awam dengan keutamaan diberikan kepada kes pokok tumbang yang menghalang laluan serta menimpa rumah,” katanya.

Dr Ahmad Jailani berkata demikian merujuk kejadian hujan lebat dan angin kencang di Perlis, semalam, yang mengakibatkan banyak pokok tumbang dan rumah rosak serta kemudahan awam terjejas.

Kejadian dengan kelajuan angin 68.7 kilometer sejam direkod MET Malaysia Perlis, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 12 tengahari tadii menyebabkan 102 rumah terjejas sekitar Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Selain itu, sebanyak 189 kes pokok tumbang mengakibatkan gangguan elektrik, di kawasan terbabit.