Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Program pertukaran pelajar antarabangsa elemen penting pengantarabangsaan pendidikan

JOHOR BAHRU, 30 SEPT: Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa di negara ini dilihat sebagai satu elemen penting dalam usaha untuk mengantarabangsakan sektor pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, program berkenaan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang merancang agar setiap pelajar meninggalkan zaman persekolahan sebagai rakyat global yang disemai nilai-nilai teras dan universal serta kukuh dengan identiti rakyat Malaysia.

“Dalam dunia yang serba pantas, pendedahan yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak agar mereka mempunyai ‘worldview’ (pandangan dunia) se awal di bangku sekolah lagi.

“Program ini (pertukaran budaya) adalah kunci membuka pintu pelajar kepada kepelbagaian ilmu, pengalaman dan juga kesedaran diri sendiri, ” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Pelajar Program Pertukaran Antara Budaya Anjuran Yayasan AFS Antara Budaya Malaysia (AFS Malaysia) di Maktab Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Maszlee turut berkata kehadiran pelajar asing di sesebuah sekolah akan membuka mata pelajar tempatan bukan sahaja kepada budaya baru tetapi juga kepada pembentukaan cara berfikir.

Pada majlis berkenaan, seramai empat pelajar asing termasuk dari Amerika Syarikat dan Itali terpilih belajar di empat sekolah di negeri ini.

Foto: BERNAMA

Pelajar yang terpilih akan ditempatkan di Maktab Sultan Abu Bakar, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Skudai.

Pelajar yang terlibat melibatkan dua pelajar dari Amerika Syarikat — Harnoir Mann Singh dan Sejal Kray Mayer Patel manakala dari Itali – Carlo Tota dan Alberto Lambardo, kesemuanya berusia 16 tahun.

Maszlee dalam pada itu turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mendakwa program pertukaran pelajar membawa budaya tidak sihat kerana pelajar asing dilihat lebih bebas dan berani.

“Pemikiran sebegini mesti dielakkan. Kegusaran tidak rasional ini yang membawa kepada pemikiran insular yang akhirnya boleh menjadikan kita terasing dari dunia yang semakin tiada sempadan.

“Ini akan membantutkan usaha meningkatkan jati diri anak-anak kita yang sepatutnya diberikan peluang berinteraksi dengan golongan sebaya mereka agar mereka mampu menjadi warga dunia yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA