Categories
EKONOMI SELANGOR

Raja Muda berkenan rasmi SIBS 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

SIBS 2018 itu berlangsung pada 6 hingga 16 September ini, dengan menyasarkan RM250 juta nilai transaksi.

Ia bakal merangkumi Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018, pada 6 dan 7 September, Ekspo Antarabangsa Selangor (6 hingga 9 September) dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).

Mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Lebih 1,000 pempamer dari pelbagai negara menyertai SIBS kali ini antaranya pempamer dari negara Asean, Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Terdahulu, SIBS 2017 menerima seramai 22,701 pelawat dan menjana sebanyak RM204.2 juta nilai transaksi.