Categories
SELANGOR

Selangor perintis penanaman padi wangi pertama Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sekinchan bakal menjadi perintis projek penanaman padi wangi yang pertama di negara ini ekoran kesuburan tanah dan sistem saliran yang serba lengkap serta moden.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim berkata, pesawah di Sekinchan juga memiliki teknik penanaman padi terbaik sekali gus mampu menjayakan projek yang dijangka menambah pendapatan pesawah di situ.

“Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) wajib usahakan benih padi wangi yang berkualiti dan baik untuk ditanam supaya apabila berjaya nanti hasil pendapatan petani akan bertambah seterusnya meningkatkan kualiti hidup petani.

“Walaupun terdapat banyak kekangan dan risiko dalam proses menanam padi wangi tetapi kita harus berani mengorak langkah untuk mencipta kejayaan dan kita yakin kerana sebelum ini Sekinchan terkenal sebagai hasil tuaian padi tertinggi dan berkualiti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, Selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan, MARDI dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tadi juga perlu pro aktif memberi bimbingan dan panduan terbaik kepada petani bagi menjayakan projek ini.

Katanya, sebelum ini impian projek penanaman padi wangi di Sekinchan sukar dilaksanakan ekoran perbezaan pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan.

Bagaimanapun, perkara itu boleh dilaksanakan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.