Categories
SUKANKINI

ARRC: Helmi waspada ancaman pelumba Indonesia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 OKT: Md Helmi Azman berwaspada dengan ancaman pelumba tuan rumah termasuk pelumba wildcard untuk memungut mata maksimum dalam saingan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team itu kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 134 mata melalui dua gelaran juara dan tiga kali penamat di tempat kedua.

Berbaki empat perlumbaan dalam dua pusingan terakhir musim ini, Helmi kini 23 mata mengatasi rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) (111 mata) manakala Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR Racing Team) (88 mata).

Sementara itu pelumba tuan rumah, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) di kedudukan keempat dengan 81 mata.

Helmi berkata, pelumba tuan rumah sentiasa mendatangkan ancaman kepada pelumba Malaysia jika di Sentul kerana mereka telah iasa dengan keadaan litar dan banyak memberi kelebihan.

“Seperti musim lalu, walaupun saya berjaya menaiki podium dalam kedua perlumbaan tetapi pelumba wildcard mereka, Richard Taroreh memenangi perlumbaan kedua manakala Wahyu turut menaiki podium dalam kedua saingan.

“Saya juga perlu lebih berhati-hati dan mengatur strategi terbaik bersama rakan sepasukan dan sebagai pendahulu, saya pasti menjadi perhatian untuk ditewaskan bagi memberi peluang pelumba negara mereka merapatkan jurang,” katanya.