Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Hentikan pencemaran efluen, bersama jaga alam sekitar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa peka dan memandang serius terhadap isu pencemaran daripada sektor industri, khususnya pelepasan efluen serta bahan buangan yang tidak terolah.

Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Ahmad Zaki Yusof berkata, perkara itu dititikberatkan bagi memastikan perindustrian efluen memenuhi standard dan piawaian ditetapkan.

Katanya, ketidakprihatinan segelintir pihak industri mengenai isu alam sekitar dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata menjurus kepada pencemaran sungai, bahkan memaksa penutupan loji rawatan air.

“Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar Selangor setakat ini, terdapat sebanyak 1,131 premis berefluen dan 2,905 premis kumbahan di negeri ini.

“Malah, jumlah premis industri yang tinggi ini jika tidak dioperasi dengan sebaiknya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, boleh menyumbang kepada pencemaran sungai yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian, pada Seminar Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Dato’ Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim; Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim dan Pegawai-Pegawai Kanan JAS.

Pada masa sama, Ahmad Zaki berkata, pihak industri digesa untuk mempergiat kerjasama dengan kerajaan termasuk JAS dalam menggalas peranan ke arah pengurusan alam sekitar yang lebih teratur dan sempurna.

Katanya, tanggungjawab itu juga perlu dilaksanakan secara kolektif supaya alam sekitar yang berkualiti dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

“Selain itu, asas pengetahuan tinggi adalah penting untuk merencanakan pengurusan alam sekitar yang baik dan kondusif di kalangan pihak industri.

“Ia sekali gus dapat membantu pihak industri dalam meningkatkan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya serta memastikan tiada pencemaran berlaku,” katanya.