Categories
SELANGOR

Menang Ketua Cabang, MB ajak bingkai muafakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menang selesa dalam merebut jawatan Ketua Cabang KEADILAN Gombak di kubu kuatnya, pada pemilihan yang diadakan di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mendapat 1,115 undi mengalahkan calon lawannya, Datuk Mohamed Nizam Md Saad yang hanya memperoleh 196 undi.

Amirudin merakamkan ucapan terima kasih kerana memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk memimpin cabang berkenaan.

“Sekalung ucapan terima kasih tidak terhingga kepada sahabat seperjuangan anggota KEADILAN Cabang Gombak kerana memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk memimpin.

“Marilah bersama kita membingkai muafakat untuk melaksana Reformasi,” katanya menerusi Twitter.

Jawatan Timbalan Ketua Cabang pula dimenangi Abdul Rahim Kasdi yang mendapat 797 undi mengalahkan Mazlan Musa, 374 undi.

Selain itu, bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menang bagi jawatan Timbalan Presiden di cabang berkenaan dengan memperoleh 823 undi berbanding Rafizi Ramli, 242 undi.

Kemenangan besar itu membuktikan legasi kecemerlangan dan tradisi kejayaan akan diteruskan, di Gombak.

Semalam, tujuh cabang di Selangor bagi fasa kedua dilaksanakan membabitkan Puchong, Gombak, Petaling Jaya Utara dan Selatan serta Kuala Langat, Klang dan Selayang.

Manakala, fasa terakhir pemilihan di negeri itu membabitkan enam lagi cabang daripada keseluruhan 22 cabang akan diadakan, pada 28 Oktober ini iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.