Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Penduduk diminta waspada air pasang besar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 7 OKT: Penduduk di 17 kawasan berisiko tinggi di daerah ini dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku, pada 8 hingga 12 serta 24 hingga 27 Oktober ini.

Pengerusi Pengurusan Bencana Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, fenomena air pasang besar itu dijangka akan berada pada aras setinggi 3.3 meter.

“Jika hujan lebat dan angin kencang, risiko untuk berlaku banjir akan meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara kawasan dikenal pasti berisiko termasuk di Kampung Bagan-ILDAS, Kampung Datuk Rahman Shafiee, Kampung Parit Baru Baroh-Institut Perakaunan Negara, Politeknik Sultan Idris Shah dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam.

“Kawasan lain ialah Pantai Bagan Nahkoda Omar (BNO), Bagan Tebuk Mendeling, Ban Pantai Sungai Lang, Kampung Sungai Air Tawar, Parit Baru, Persisiran Pancang Bedena, Bagan Sungai Burong dan Kampung Sekendi.

“Selain itu, Pantai Bagan Sungai Besar, Persisiran Pantai Kampung Sungai Gatal, SAM Pasing Panjang-Kampung Pasir Panjang, Bagan Sekinchan, Jalan Seri Sentosa 2 di Sekinchan dan Pantai Batu 23, Sungai Nibong,” katanya.

Nasir yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi penyelamat dan pasukan teknikal untuk menjalankan pemantauan di pesisiran pantai pada tarikh berkenaan, terutama pada awal pagi.

Pada masa sama sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil inisiatif memasang cerucuk batang kelapa di sepanjang ban yang rebak di Tebuk Mendeling bagi menghadapi sebarang kemungkinan fenomena itu.

Mengulas lanjut, Nasir berkata, cerucuk batang kelapa itu dipasang untuk mengukuhkan struktur ban terbabit.

“Tiada beban tambahan ditambak tanah dan batu di atas ban yang rebak kerana dikhuatiri menyebabkan kerosakan lebih teruk di kawasan itu.

“JPS juga mewujudkan sistem air keluar masuk sebagai zon penampan jika ban itu pecah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung fenomena air pasang besar boleh menghubungi Urusetia Bencana Daerah di talian 03-32247058/1963 atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysa (APM) Daerah Sabak Bernam di talian 03-32241794.