Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor Cyber Games 2018 meriah disertai lebih 2,300 pemain e-sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 27 OKT: Selangor Cyber Games 2018 mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih 2,300 peserta dari seluruh negara.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, ia petanda positif terhadap perkembangan acara itu yang dimulakan sejak 2014.

“Pada tahun ini penyertaan makin bertambah dengan lebih 2,300 peserta menyertainya.

“Kita berharap Selangor Cyber Games akan terus mendapat sambutan pada masa akan datang,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, ketika merasmikan acara itu berkata, Kerajaan Negeri megalu-alukan sebarang usaha untuk menggalakkan penyertaan e-sukan yang kini dianggap sebagai karier pada alaf ini.

Katanya, e- sukan kini satu bidang yang setaraf dengan sukan fizikal khususnya di kalangan generasi baharu.

“Antara objektif acara ini bertujuan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat dengan menjadikan e-sukan sebagai medium utama.

“Selain itu, ia juga menarik minat pelabur atau syarikat pembangunan permainan video ke Malaysia dan meletakkan negara ini sebagai salah satu negara terpenting dalam industri e-sukan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada penganjur, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mineski Events Team dan Big Machinez kerana berjaya menganjurkan Selangor Cyber Games buat kali kelima.

“Saya berharap acara ini akan menjadi plat form bagi anak muda mencungkil bakat mereka sekali gus menberikan peluang kepada mereka maju lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Abd Bahar; Pengarah Eksekutif Kumpulan Empire City, Dato’ Danny Cheah Joi Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Event Team, Kenchi Yap dan Pengarah Mineski Events Team, Firdaus Hashim.