Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor kuasai 62% industri aeroangkasa Malaysia, tingkat kolaborasi dengan Maghribi

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Dunia mempunyai tiga ‘M’ yang menjadi hos kepada industri aeroangkasa iaitu Malaysia, Maghribi dan Mexico, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sehubungan itu, beliau berkata, lawatan kerjanya ke Maghribi turut melihat perkembangan bidang berkenaan di negara terbabit juga bentuk kerjasama pada masa depan, apatah lagi Maghribi adalah salah satu daripada rakan kolaborasi Selangor dalam industri aeroangkasa.

“Selangor yang mempunyai 62 peratus daripada keseluruhan industri aeroangkasa di Malaysia harus terbabit dengan aktif bersama Kerajaan Maghribi. Saya sempat bertemu dengan Timbalan Menteri Ekonomi Maghribi dan satu komuniti yang ditubuhkan dalam kalangan syarikat utama di dalam industri aeroangkasa, di negara itu.

“Kita melihat beberapa perkara yang boleh diselaraskan termasuk membawa beberapa syarikat dari Maghribi untuk membuka pelaburannya, di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi dan Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Selangor juga hampir berjaya memuktamadkan pelaburan baru di Jordan membabitkan industri aeroangkasa.