BAITUL MAQDIS (Palestin), 6 OKT: Umat Islam di seluruh dunia diseru untuk terus mengunjungi Masjid Al-Aqsa walaupun menghadapi tekanan tentera Israel kerana melalui cara itulah masjid ketiga suci orang Islam itu dapat dipertahankan.
Mufti Besar Baitul Maqdis Sheikh Mohammad Ahmad Husein berkata kunjungan yang tidak putus-putus secara tidak langsung akan menunjukkan tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Ketika membuat seruan itu beliau berkata pada masa ini penduduk Palestin semakin terancam dan tertindas dan mereka juga dilarang walaupun untuk menganjurkan majlis kecil seperti memperingati tokoh pendidikan baru-baru ini.
“Inilah mengapa umat Islam di seluruh dunia perlu datang menziarahi masjid itu kerana kehadiran mereka menyemarakkan semangat dan keazaman mempertahankan hak mereka,” katanya ketika ditemui Bernama bersempena lawatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu di sini, semalam.
Berangkat sama ialah anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr Ekremah Said Sabry.
Baginda diiringi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd. Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin juga sempat menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum menyampaikan 30 kerusi roda bagi kegunaan jemaah di situ.
Dr Ekremah yang juga penjaga Masjid Al-Aqsa berkata Perjanjian Oslo pada 1993 yang berat sebelah menyebabkan nasib rakyat Palestin semakin tertindas.
“Perjanjian itu seolah-olah Amerika memberi hak kepada Israel melakukan apa sahaja terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang ingin membuat sumbangan atau derma supaya berbuat demikian melalui saluran rasmi seperti Duta Palestin di Kuala Lumpur dan Arab Saudi atau Menteri Wakaf Jordan supaya sumbangan sampai kepada mereka yang layak menerimanya.
Perbualan wakil Bernama dengan beberapa penduduk (melalui penterjemah) menyatakan penduduk Tebing Gaza yang paling teruk menderita akibat kekejaman Israel.
Perjanjian Oslo ditandatangani pada 1993 dan 1995 yang bertujuan membawa ke arah penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.
SUMBER: BERNAMA