Categories
SELANGOR

Ban Tebuk Mendeling bakal dinaik taraf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri memberi jaminan projek menaik taraf ketinggian ban laut di Tebuk Mendeling, di sini, akan mengurangkan impak banjir ekoran fenomena air pasang besar, di kawasan berhampiran.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pelaksanaan projek membabitkan peruntukan RM500,000 itu dijangka bermula awal tahun depan.

Katanya, kawasan terbabit dikesan mudah terdedah kepada air pasang surut, walaupun sistem ban yang diselenggara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) cukup luas serta menyeluruh.

“Kalau dilihat tanaman kelapa sawit di sini banyak mati ekoran air pasang besar, jadi kita akan naik taraf ketinggian ban untuk menjaga tempat tinggal penduduk supaya tidak banjir.

“Pada masa sama, kita mahu menjadikan tempat ini penampan bagi flora dan fauna, malahan di kawasan tebing pula banyak tumbuhan atau hidupan liar lain termasuk ikan, burung undan serta bangau yang boleh dijadikan tempat pelancongan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak ban berkenaan bersama pegawaii JPS dan penduduk tempatan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ir Izham berkata, pihaknya turut mencadangkan tanah di situ diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri, selaras memantapkan usaha memelihara dan memulihara flora serta fauna berkonsepkan ‘Wetland’.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor kerana apa yang boleh dilihat, pantai ini sentiasa digenangi air, jadi kalau buat apa-apa tanaman ia tidak subur yang sudah tentu tidak memberi keuntungan kepada kita.

“Justeru, ia menjadi sebahagian daripada pendekatan saya untuk memperbanyakkan kawasan penampan di sepanjang pantai supaya dapat mengawal hakisan, sekali gus berupaya meningkatkan hidupan laut memandangkan pokok ini adalah bahan ‘plankton’ yang memerangkap ikan,” katanya.