Categories
SELANGOR

Naik taraf kemudahan tandas awam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 NOV: Kemudahan tandas awam restoran dan gerai persendirian, di negeri ini perlu ditambah baik bagi keselesaan pengguna.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pengumuman peruntukan bagi menaik taraf kemudahan itu akan dibuat melalui Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November ini.

“Kerajaan Negeri melalui portfolio Kerajaan Tempatan tidak akan membina tandas baru, sebaliknya menaik taraf tandas sedia ada dengan memberi peruntukan kepada pemilik premis.

“Selain mengurangkan kos pembinaan tandas baru, ia juga dilihat sebagai langkah yang lebih proaktif,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau juga akan mengusulkan belanjawan berkenaan pembangunan 77 kampung baru, di Selangor yang memiliki sejarah tersendiri.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius permasalahan di kampung baru kerana kebanyakannya tidak mempunyai infrastruktur baik.

“Ekoran itu, kita mahu mengubah landskap kampung baru ini ke arah lebih baik untuk didiami semua tahap umur dan melalui belanjawan kali ini, kita mahu memperkenalkan keunikan setiap kampung baru di sini,” katanya.