Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Penguatkuasaan fatwa kekang golongan liberalisme dan pluralisme

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Penguatkuasaan fatwa diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Selangor boleh digunakan bagi membenteras golongan liberalisme dan pluralisme.

Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali berkata, fatwa 25 Julai 2016 jelas memutuskan bahawa pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

“Tindakan tegas boleh diambil dan dikenakan kepada golongan liberalisme dan pluralisme.

“Beberapa fatwa berkaitan pembendungan dan tindakan untuk menyahkan elemen liberalisme dan pluralisme agama telah diputuskan. Tindakan tegas boleh diambil ke aatas pesalah, pelaku atau golongan yang terangan dan bersabit pemikiran liberalisme dan pluralisme,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan kertas kerja; Liberalisme dan Pluralisme: Ancaman Akidah Dan Penyelesaiannya Di Negeri Selangor bersempena Multaqa Sultan Sharifuddin 2018, semalam.

Antara fatwa yang boleh dirujuk adalah Fatwa Valentines’s Day: 71/2005, Fatwa Menganjurkan Bukan Muslim Berdoa Dengan Cara Masing-masing: &4/2006, Fatwa Kalimah Allah: 82/2008, Fatwa Yoga: 83/2008 dan Fatwa Candlelight Vigil: 88/2009.

Jelasnya, wajar bagi setiap umat Islam memperkukuh akidah dan menuntut ilmu pengetahuan supaya dapat mengenalpasti corak pemikiran bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, walapun golongan liberalisme dan pluralisme mencanangkan ideologi mereka adalah mekanisme terbaik dalam interaksi global dan hubungan antara umat beragama tetapi konsep keadilan serta kesetaran dalam Islam adalah lebih hebat.