Categories
SELANGOR

Seminar Undang-Undang Syariah beri pencerahan kepada masyarakat

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 10 NOV: Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melaksanakan seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah: Ketahui Hak Anda membantu masyarakat memahami perkara itu dengan lebih mendalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu harus dipuji memandangkan undang-undang terbabit dikuat kuasa serta digunapakai Mahkamah Syariah Selangor.

“Saya percaya inisiatif ini satu transformasi baik sekali gus mengubah persepsi masyarakat berkenaan fungsi mahkamah yang selama ini dilihat hanya tertumpu pada pengendalian perbicaraan kes.

“Dengan cara ini, masyarakat berpeluang mengetahui dan memahami lebih tepat berkenaan hak, tanggungjawab serta perlindungan diberi undang-undang syariah kepada mereka terutama perkara membabitkan hal ehwal kekeluargaan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program terbabit di Dewan Utama Demesne, Bangi, di sini.

Beliau juga optimis seminar itu mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam terhadap undang-undang syariah serta fungsi sebenar Mahkamah Syariah Selangor.

Pada masa sama, beliau juga menasihati segelintir masyarakat yang suka memberi aduan atau komen berbaur negatif terhadap Mahkamah Syariah untuk menghentikannya.

“Sebenarnya komen negatif itu disebabkan salah faham atau kurang pengetahuan dalam kalangan masyarakat berkenaan hak serta perlindungan diperuntukkan undang-undang.

“Justeru, saya percaya melalui seminar ini masyarakat diberi peluang dan mempunyai forum betul untuk mereka berinteraksi, malahan inisiatif itu dapat meningkatkan imej Mahkamah Syariah Selangor,” katanya.

Terdahulu, seramai 500 peserta menghadiri seminar berkenaan terdiri daripada peguam, penjawat awam, orang awam, guru, imam dan nazir masjid daerah Hulu Langat.

Antara pengisian seminar diadakan ialah tiga slot ceramah daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Noor Huda Roslan; Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Shukran Yusof dan Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Muhammad Hisyam Zakaria.

Manakala, antara slot dibincangkan adalah Pembubaran Perkahwinan Menurut Undang-Undang Keluarga Islam; Merungkai Konflik Gantung Tak Bertali dan Hak Selepas Perceraian.