Categories
SELANGOR

Sistem ‘Photovoltaic’ beri manfaat Orang Asal Sungai Relang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 12 buah rumah di perkampungan Orang Asli Sungai Relang, Ulu Gombak, di sini, bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan projek perintis pemasangan Sistem Photovoltaic (PV).

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, projek penyelesaian mampan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM439,200.

Katanya, projek dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) itu dijangka siap sepenuhnya, pada Disember depan.

“Pemasangan sistem solar adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi membekalkan elektrik kepada kampung terbabit kerana ketiadaan talian elektrik daripada TNB buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, bilangan kampung Orang Asli yang terletak di Selangor sebanyak 74 buah kampung.

Katanya, melalui semakan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor turut mendapati semua kampung terbabit sudah dilengkapi tenaga elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Bagaimanapun terdapat dua buah kampung tambahan iaitu Kampung Orang Asli Air Kuning, Petaling dan Kampung Orang Asli Sungai Buah, Sepang masih belum menerima sumber tenaga elektrik.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pemasangan sistem solar ini di dua buah kampung itu, pada masa akan datang,” katanya.