Categories
NASIONAL

TUDM terbangkan bayi berusia 31 hari ke IJN

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 21 NOV: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 31 hari dari Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan ventilator serta rujukan pakar di Institut Jantung Negara (IJN).

Bayi kepada Zulaiha Mohd Ghani ini diterbangkan menggunakan pesawat CN 235 daripada Detasmen No 1 Skuadron yang beroperasi di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Pesawat dikendalikan Juruterbang Kapt Emy Hazrie Nor Azmi TUDM dan Kapt Mohamed Hafizan Mos TUDM selaku pembantu juruterbang bersama lima orang anak kapal berlepas dari Kuala Terengganu pada jam 8.00 pagi dan selamat mendarat pada jam 9.10 pagi di Pangkalan Udara Subang.

Turut mengiringi pesakit adalah ibu kepada bayi dan dua orang doktor iaitu Dr Muhammad Hafiz Lutfi Yahya serta Dr Teng Cheah Herng.

Foto Sumber: Twitter TUDM

“Telah menjadi tanggungjawab TUDM di dalam memberikan komitmen serta kesungguhan yang tinggi bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat seumpama ini.

“Seluruh warga TUDM mendoakan agar pesakit ini diberikan kesembuhan seperti sedia kala. Tahniah buat juruterbang dan anak kapal pesawat CN 235 dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan jayanya,” katanya.