Categories
SELANGOR

8,000 pengunjung dijangka hadir, guna MRT elak sesak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Pengunjung disaran menggunakan pengangkutan awam ke Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Selangor, di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 15 Disember ini bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hal itu kerana pihaknya menjangkakan antara 5,000 hingga 8,000 pengunjung bakal membanjiri lokasi terbabit untuk bersama menghayati perayaan terbesar penganut Kristian itu.

“Mohon kepada sesiapa yang datang menjayakan sambutan ini supaya boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti Aliran Transit Massa (MRT) dan bas bagi mengurangkan kesesakan seterusnya memudahkan pergerakan orang ramai.

“Kita juga tidak mahu menyusahkan pengunjung jika parkir kenderaan tidak mampu menampung kehadiran orang ramai. Jadi mereka terpaksa meletak kenderaan di tempat lain yang mungkin agak jauh dari lokasi program.

“Penggunaan pengangkutan awam kepada pengunjung akan lebih menjamin keselamatan dan mengelakkan risiko kemalangan yang mungkin disebabkan kesesakan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang berkata, seperti sambutan hari kebesaran kaum lain, acara tahunan itu antara komitmen Kerajaan Negeri sebagai medium menyemarakkan semangat perpaduan dan toleransi.

Katanya, pemilihan lokasi di kawasan pentadbirannya pula memberi peluang kepada semua masyarakat, dari seluruh Selangor untuk mengenali gereja yang terdapat di Kajang.

“Justeru, saya amat mengalukan kedatangan dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menjayakan sambutan pada hari berkenaan,” katanya.