Categories
SELANGOR

Kastam saran masyarakat jadi ‘mata dan telinga’

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 23 DIS: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia amat memerlukan kerjasama dan hubungan baik orang awam dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah penyeludupan.

Pengarah Operasi Penguatkuasa Kastam Zon Tengah, Dato’ Abdul Wahabi Abdullah berkata, menerusi kerjasama itu, orang awam boleh menjadi ‘mata dan telinga’ sekali gus dapat menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti terlarang itu.

Katanya, aktiviti jualan barangan larangan terutamanya rokok meningkat sehingga majoriti penduduk di negara ini kini menjadi perokok seludup tegar.

“Rokok seludup yang dikilangkan di negara luar tidak menjamin tahap kualiti kesihatannya kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.

“Rokok seludup ini dijual dengan harga yang lebih murah sekitar RM5 hingga RM7, berbanding RM15 hingga RM17 rokok di pasaran.

“Oleh itu, kerajaan bersungguh-sungguh membanteras kegiatan ini. Walaupun murah, tetapi jangan merisikokan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pencegahan Penyeludupan dan Khidmat Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tanjong Sepat, di Kampung Batu Laut, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri, Borhan Aman Shah.

Pada masa sama, Abdul Wahab berkata, langkah kerajaan meluluskan undang-undang ke atas premis yang menjual rokok seludup adalah tepat.

“Justeru, semua pihak diharapkan supaya tidak terbabit dengan urusan menjual, membeli atau memiliki apa-apa membabitkan barangan terlarang,” katanya.

Difahamkan, Malaysia adalah antara pengguna rokok seludup tertinggi antara 11 negara Asia.

Terdahulu, seramai 80 peratus daripada 114 orang yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor kerana menyeludup rokok dari Januari hingga November tahun ini, adalah warga asing.

Daripada jumlah itu 35 dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Sepanjang tempoh berkenaan juga, jabatan merampas rokok putih dan rokok kretek bernilai RM4.9 juta melibatkan cukai RM28.5 juta dalam 313 serbuan.

Tahun lalu, Kastam melakukan 226 serbuan dan merampas rokok putih dan kretek bernilai RM8.4 juta membabitkan cukai bernilai RM26.6 juta.