Categories
PBT SELANGOR

MBSA raih tempat pertama di MIPPEA 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya meraih tempat pertama bagi tiga kategori di Malaysian Institute of Planners Planning Excellence Awards (MIPPEA) 2018, di The Majestic Hotel Kuala Lumpur, di sini, pada 29 November lalu.

Anugerah berkenaan disampaikan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA mendapat tempat pertama dalam ‘LCCF Implementation City Base’, Shah Alam City Centre Section 14′ bagi kategori Anugerah Low Carbon City (Overall Approach) dan ‘Place Making and Public Space Award (Public Sector)’ bagi projek Perpustakaan Anggerik Vanilla (PAV).

Beliau berkata, pihaknya turut memenangi tempat pertama dalam kategori ‘Community Based Planning Award’ bagi penyertaan ‘MBSA Youth Garage’.

“MBSA juga turut menunjukkan pencapaian cemerlang dengan meraih Anugerah MERIT untuk kategori ‘Place Making and Public Space Award (Public Sector)’ bagi program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan dan ‘Special Mention Award’ untuk kategori ‘Community Based Planning’ bagi penyertaan ‘Young Wate Buster’,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, anugerah diberikan itu atas usaha berterusan MBSA yang sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif hijau ke arah pembangunan mampan dan rendah karbon, khususnya di Shah Alam.

Katanya, ia termasuk program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Program Penanaman Pokok ‘Shah Alam Trees For Life’ dan penggunaan lampu solar.