Categories
GLOBAL

Paris ditutup lagi susulan tunjuk perasaan ‘ves kuning’

PARIS 8 DIS: Paris ditutup bermula awal pagi ini dan dikawal rapi ribuan pasukan keselamatan bagi menghadapi tunjuk perasaan oleh ‘ves kuning’ di ibu negara serta beberapa bandar lain buat minggu keempat.

Menara Eiffel dan beberapa tarikan pelancong turut ditutup, kedai dikunci rapi dan ditutup dengan papan bagi menghalang kecurian manakala beberapa perabot di jalan turut dialihkan bagi mengelakkan ia digunakan sebagai senjata.

Kira-kira 89,000 anggota polis telah digerakkan ke seluruh negara sebagai langkah bersiap sedia.

Dari jumlah itu, 8,000 anggota dihantar ke Paris bagi mengelakkan kejadian Sabtu lalu berulang apabila perusuh bertindak membakar kenderaan dan memecah masuk kedai di persiaran Champs Elysees, selain menconteng gerbang Arc de Triomphe dengan lakaran ditujukan kepada Presiden Emmanuel Macron.

Penunjuk perasaan dengan menggunakan media sosial menamakan senario hujung minggu lalu sebagai ‘Tindakan IV’, satu cabaran dramatik kepada Macron dan dasar diperkenalkan beliau.

Tunjuk perasaan itu yang dinamakan ‘ves kuning’, iaitu jaket keselamatan wajib pengguna jalan raya Perancis mula tercetus November lalu ekoran kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan cukai minyak.

Jalan raya Perancis sejak itu dipenuhi demonstrasi yang kadang kala bertukar ganas sebagai membantah keputusan Macron dan ia menjadi satu cabaran sukar ditangani berikutan ketiadaan ketua rasmi dalam gerakan berkenaan.

Presiden berusia 40 tahun itu yang popularitinya semakin menurun untuk kali pertama dipaksa menarik semula keputusan menaikkan cukai minyak.

Walaupun kenaikan cukai berkenaan dibatalkan, penunjuk perasaan terus menuntut lebih banyak tindakan dari kerajaan termasuk penurunan kadar cukai, kenaikan gaji, kos tenaga yang murah, pertambahan faedah persaraan dan peletakan jawatan presiden.

Seorang penunjuk perasaan, Eric Drouet yang juga pemandu trak turut menggesa peserta menyerbu istana presiden, Elysee.

Seorang pegawai Elysee berkata, sebilangan penunjuk perasaan datang ke ibu negara untuk ‘memusnah dan membunuh’.

Macron yang tidak bercakap kepada orang ramai selepas mengutuk rusuhan minggu lalu di sidang kemuncak G20 di Argentina akan memberikan ucapan kepada seluruh rakyat awal minggu depan, kata pejabatnya.

Beliau melawat sekumpulan anggota polis di berek mereka di luar Paris petang semalam, kata pejabatnya lagi.

SUMBER: REUTERS